TANJONG MALIM, 22 Ogos 2026 – Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X JAGO 2026 Daerah Muallim berlangsung meriah di Dataran Dato’ RM Idris, Tanjong Malim, hari ini dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme serta menghidupkan suasana sambutan Bulan Kebangsaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Program yang berlangsung dari 2.30 petang hingga 7.00 malam itu menghimpunkan Ketua-Ketua Agensi, Ahli-Ahli Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), barisan VIP serta masyarakat setempat.
Kemuncak program menyaksikan ketibaan YB Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama barisan VIP pada kira-kira jam 5.30 petang, sebelum acara rasmi dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Negeri Perak.
Turut berlangsung ialah ucapan Ketua Konvoi, YBrs. Puan Hasmiza binti Hussin, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak dan ucaptama oleh YB Datuk Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia merangkap Ahli Parlimen bagi kawasan Tanjong Malim yang membawa mesej berkaitan semangat kemerdekaan, perpaduan dan penglibatan masyarakat dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Antara acara yang menjadi tumpuan ialah penyempurnaan Gimik KMJG X JAGO, diikuti penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua-Ketua Agensi dan Ahli-Ahli Majlis Daerah MDTM sebagai simbol semangat patriotisme serta kecintaan terhadap negara.
Program turut diserikan dengan persembahan PENTARAMA, Kuiz Kenegaraan dan Cabutan Bertuah yang memberi peluang kepada masyarakat untuk turut serta dalam aktiviti yang disediakan sepanjang program.
Selain itu, Kit KMJG turut diserahkan kepada perasmi sebagai sebahagian daripada pengisian program Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Daerah Muallim.
Program diakhiri dengan persembahan PENTARAMA dan nyanyian Lagu Jalur Gemilang, sebelum para tetamu dan masyarakat bersurai pada jam 7.00 malam.
Penganjuran KMJG X JAGO 2026 di Daerah Muallim diharap dapat terus menyemarakkan semangat “Malaysia MADANI” serta memupuk rasa bangga terhadap negara, Jalur Gemilang dan identiti kebangsaan dalam kalangan masyarakat.