Kuala Kangsar, 5 Disember 2025 – Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), Dr Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman, AMP terus membuktikan kewibawaannya sebagai pemimpin berwibawa apabila dianugerahkan dua pengiktirafan tertinggi sempena Majlis Makan Malam Graduan & “Homecoming” Alumni USAS 2025.
Beliau menerima Anugerah Ikon Alumni USAS 2025 daripada YBhg Prof. Dato' Dr Wan Sabri bin Wan Yusof, Naib Canselor USAS yang mana merupakan satu penganugerahan berprestij yang diberikan kepada alumni yang menunjukkan kepimpinan cemerlang, sumbangan besar kepada pembangunan komuniti serta membawa nama universiti ke tahap lebih tinggi.
Selain itu, beliau turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik 2025 yang disampaikan oleh YB Dato' Zolkafly bin Harun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak bagi mengiktiraf usaha gigih dan pencapaian akademik beliau yang konsisten serta menjadi contoh kepada warga alumni lain.
Pengiktirafan berganda ini diberikan berdasarkan komitmen beliau memajukan daerah Tanjong Malim, kepimpinan yang progresif dalam pentadbiran kerajaan tempatan, serta penglibatan aktif beliau dalam menjalin kerjasama strategik antara MDTM dan institusi pendidikan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor USAS, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Wan Sabri Wan Yusof bersama barisan kepimpinan alumni dan tetamu jemputan khas.
Dua anugerah tersebut sekali lagi mengukuhkan kedudukan YDP MDTM sebagai salah seorang alumni USAS yang paling menonjol dan memberi inspirasi kepada generasi graduan baharu.