TANJONG MALIM, 3 Februari 2026 – Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) hari ini telah menerima kunjungan delegasi KUDRAT (KUDR) sempena Sesi Perbincangan dan Lawatan Projek Inisiatif Smart Kudrat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Sri Malim, Tingkat 4, MDTM.
Ketibaan delegasi KUDR telah disambut oleh Yang Dipertua MDTM, Dr Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman, bersama barisan pengurusan tertinggi MDTM.
Turut hadir dalam sesi ini ialah Tuan Setiausaha MDTM, Ketua Jabatan Perancang, Ketua Jabatan Kejuruteraan, Ketua Unit OSC, Ketua Jabatan Undang-Undang MDTM serta pegawai-pegawai berkaitan. Program dimulakan dengan sesi bergambar di Bilik Mesyuarat Aras 4, MDTM sebelum sesi taklimat dan lawatan tapak dijalankan.
Sesi ini diadakan bagi membincangkan potensi pelaksanaan teknologi GDT (Geospatial Digital Twin Technology) yang boleh dimanfaatkan oleh MDTM, khususnya dalam menyokong operasi utama majlis seperti Muallim Speed Lane serta inisiatif bandar pintar di kawasan pentadbiran MDTM.
Antara agenda utama perbincangan ialah pengenalpastian lokasi sepanjang 10 kilometer di sekitar Proton City bagi tujuan pengumpulan data bermula hari ini, serta penetapan kawasan 1 kilometer x 1 kilometer untuk pelaksanaan Pemetaan Digital Twin 3D sebagai projek perintis.
Sesi ini turut disusuli dengan lawatan tapak bagi melihat secara langsung kawasan cadangan projek, sekali gus memperkukuhkan kerjasama strategik antara MDTM dan KUDR dalam memperkasa penggunaan teknologi pintar, berimpak tinggi dan berteraskan data.MDTM komited untuk terus meneroka penggunaan teknologi inovatif seiring aspirasi bandar pintar dan tadbir urus mampan demi kesejahteraan masyarakat setempat.