Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah mengadakan Sesi Libat Urus (FGD) bagi Kajian Penyediaan Pelan Tindakan Bandar Pintar Muallim 2035 dengan kerjasama pasukan perunding yang dilantik.
Sesi ini merupakan komponen penting dalam penyediaan pelan tindakan tersebut. Ia bertujuan mendapatkan pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak berkepentingan agar pelan yang dirangka lebih menyeluruh, inklusif dan praktikal untuk dilaksanakan.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Setiausaha MDTM, Tuan Roslan bin Kamaruzaman yang menekankan kepentingan kerjasama strategik antara pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal dan komuniti dalam merealisasikan agenda bandar pintar. Seterusnya, taklimat kajian telah disampaikan oleh wakil perunding, TPr Ts. Md Farabi Yussoff Md Yussoff, yang menerangkan latar belakang kajian, objektif FGD serta kaedah pelaksanaan mengikut domain bandar pintar.
Sesi ini melibatkan penyertaan Ahli Majlis MDTM, Ketua Jabatan Dalaman, wakil agensi dan jabatan kerajaan berkaitan serta wakil komuniti setempat. Penglibatan pelbagai pihak ini penting bagi memastikan perancangan yang dibuat benar-benar mengambil kira keperluan sebenar masyarakat Daerah Muallim. Segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan akan dianalisis sebagai input utama dalam merangka Pelan Tindakan Bandar Pintar Muallim 2035.
MDTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas komitmen dan kerjasama yang diberikan. Diharapkan usaha ini akan memperkukuh hala tuju pembangunan Daerah Muallim ke arah bandar pintar yang mampan, inklusif dan berdaya tahan menjelang tahun 2035.