JAKARTA, INDONESIA, 12 Jun 2026 – Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), Dr. Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman telah menerima pengiktirafan Asia Impact Leaders Awards 2026 dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Grand Mercure Hotel Kemayoran, Jakarta, Indonesia. Pengiktirafan berprestij ini dianugerahkan oleh World Achievement Association dengan kerjasama Award Magazine kepada para pemimpin yang dinilai mempunyai kepimpinan yang berimpak, dihormati serta memberi inspirasi dalam organisasi dan komuniti. Anugerah ini merupakan penghargaan terhadap komitmen dan kredibiliti kepimpinan Dr. Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman dalam menerajui pentadbiran MDTM, khususnya dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan, membina keyakinan masyarakat serta meningkatkan imej pihak berkuasa tempatan ke tahap yang lebih tinggi.
Majlis tersebut turut menghimpunkan barisan pemimpin berpengaruh dari rantau Asia dalam suasana yang penuh penghormatan, pengiktirafan dan jaringan profesional. MDTM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berbahagia MDTM, Dr. Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman atas pengiktirafan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada warga MDTM untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Tanjong Malim.