Tanjong Malim, 28 Mac 2026 – Komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam menyediakan perumahan mampu milik terus diperkukuh melalui Majlis Perasmian Projek Rumah Perakku Kota Malim Prima yang disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan.
Majlis yang berlangsung di Kota Malim Prima ini turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, Dr Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman, bersama Setiausaha Majlis Daerah Tanjong Malim, Tuan Roslan bin Kamaruzaman, serta barisan kepimpinan kerajaan negeri dan jabatan berkaitan.
Dalam majlis tersebut, YAB Menteri Besar menegaskan kepentingan penyediaan kediaman yang selesa dan mampu dimiliki sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat, selaras dengan agenda pembangunan negeri di bawah gagasan Perak Sejahtera 2030.
Majlis turut menyaksikan gimik pelancaran sebagai simbolik perasmian projek, diikuti lawatan YAB Menteri Besar ke rumah contoh bagi meninjau sendiri kualiti serta kemudahan yang ditawarkan kepada bakal pemilik.
Pembangunan Rumah Perakku ini dilihat sebagai satu inisiatif strategik dalam merancakkan pertumbuhan Tanjong Malim sebagai kawasan pembangunan baharu yang mampan, di samping memenuhi keperluan perumahan rakyat secara menyeluruh.
“PERAK SEJAHTERA 2030”
“MALAYSIA MADANI”