Melaka , 5–6 Februari 2026, Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah menyertai Perak Sejahtera 2030: State Leadership Retreat 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Birkin International Hotel, Melaka, bermula 4 hingga 6 Februari 2026.
Penyertaan MDTM telah diketuai Yang Dipertua MDTM Dr Shazree Idzham Wahab, dalam program kepimpinan peringkat negeri anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak.
Program tahunan yang merupakan kali ke-4 ini memperkukuh sinergi antara barisan kepimpinan negeri bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri serta agensi berkaitan bagi membincangkan hala tuju strategik dalam memacu pelaksanaan agenda Perak Sejahtera 2030.
Sepanjang program, para peserta telah mengikuti pelbagai sesi berimpak tinggi termasuk sesi sorotan Perak Sejahtera 2030, perbincangan kumpulan, forum serta sesi perkongsian pengalaman yang memberi penekanan kepada idea baru, lonjakan kuantum dan solusi yang mapan bagi pelaksanaan agenda Perak Sejahtera 2030.
Antara pengisian utama program ialah pembentangan hasil perbincangan bertemakan “Melangkaui Kejayaan, Membina Lonjakan Keyakinan” serta sesi perutusan oleh YAB Menteri Besar Perak, yang menekankan kepentingan kepimpinan bersepadu, inovasi dan kerjasama strategik dalam menjayakan aspirasi negeri.
Penyertaan ini mencerminkan komitmen berterusan MDTM di bawah kepimpinan Dr Shazree Idzham Wahab dalam menyokong agenda pembangunan negeri serta memperkukuh tadbir urus MDTM ke arah Majlis Perbandaran supaya selaras dengan halatuju Perak Sejahtera 2030 demi kesejahteraan rakyat.