Tanjong Malim, 15 Mac 2026 – Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah mengadakan Sesi Libat Urus dan Lawatan Tapak bersama jabatan-jabatan teknikal MDTM di kawasan pembangunan Kota Malim Prima (KMP) dan Taman Bernam Permai pada pagi Ahad.
Lawatan tersebut diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, Dr. Shazree Idzham bin Wahab Abdul Rahman, bersama Setiausaha Majlis Daerah Tanjong Malim, Tuan Roslan bin Kamaruzaman, serta pegawai daripada Jabatan Kejuruteraan dan Kawalan Bangunan, Jabatan Perancangan Pembangunan dan Landskap serta Jabatan Penguatkuasaan.
Sesi lawatan ini bertujuan untuk meninjau perkembangan pembangunan di kawasan terlibat di samping memastikan setiap projek dilaksanakan secara terancang, mematuhi kelulusan yang telah diberikan serta selaras dengan perancangan pembangunan daerah.
Sepanjang lawatan tersebut, pihak MDTM turut mengadakan sesi perbincangan di tapak bersama pegawai teknikal bagi meneliti aspek perancangan, infrastruktur serta keperluan pembangunan semasa di kawasan berkenaan agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Inisiatif seperti ini mencerminkan komitmen Majlis Daerah Tanjong Malim dalam memastikan pembangunan di daerah ini dilaksanakan secara sistematik, mampan dan selari dengan aspirasi pembangunan daerah demi kesejahteraan komuniti.