Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan dan Maklum Balas
Peta Laman

Aktiviti & Program

INSENTIF BAZAR RAMADAN LESTARI MDTM 2025, KEMPEN TIADA BEG PLASTIK SEKALI GUNA, KEMPEN JOM TAPAU MDTM DAN PROGRAM MYSafeFOOD@RAMADHAN

22 Mac 2025 (Sabtu) – Program Insentif Bazar Ramadhan Lestari yang bermula pada 2 Mac 2025 telah mendapat sambutan yang menggalakkan dikalangan peniaga Bazar Ramadhan 2025. Program ini merupakan usaha pihak MDTM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak bagi mengurangkan penggunaan plastik, polisterin dan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik bukan sekali guna dan digantikan dengan bekas makanan yang ‘biodegradable’ dan mesra alam sekitar demi menjamin kelestarian alam.

Seramai sembilan (9) orang peniaga bazar yang telah memenuhi kriteria telah terpilih untuk menerima insentif ini dan pemberian insentif telah disempurnakan oleh Tuan Mohd Ikram bin Ahmad, Yang Dipertua MDTM. Turut hadir dalam program tersebut ialah Tuan Roslan bin Kamaruzaman Setiausaha MDTM dan Ketua-Ketua Jabatan MDTM.

Peserta telah menerima hadiah wang tunai beserta sijil penyertaan dan beg guna semula MDTM.

Selain itu, Tuan Yang Dipertua juga berbesar hati untuk turun padang menyaksikan sendiri program MySaveFood @Ramadhan yang dilaksanakan oleh sukarelawan Pemuda Gema Perak (NGO) di tapak Bazar Behrang 2020. Program ini merupakan inisiatif NGO berkenaan untuk menyelamatkan lebihan makanan dan minuman yang tidak terjual (yang selamat dimakan/ diminum) untuk diedarkan kepada golongan yang memerlukan. Sehingga kini sebanyak 673kg lebihan makanan/minuman telah berjaya diterima daripada peniaga Bazar Behrang 2020 dan diedarkan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Daerah Muallim.

Bagi menjayakan Kempen Tiada Beg Plastik Sekali Guna secara berterusan, pihak Majlis turut membuat edaran 120 helai beg guna semula kepada pengunjung yang hadir ke Bazar Ramadhan Slim River, Tanjong Malim dan Behrang 2020 pada hari tersebut.

Selain itu, Kempen Jom Tapau juga diteruskan pada tahun ini sepanjang bulan Ramadan di 3 lokasi bazar yang sama. Program ini dapat menggalakkan pengunjung untuk membawa bekas makanan sendiri dan pengunjung boleh membuat tuntutan cenderahati kepada kakitangan MDTM yang bertugas.
Pihak MDTM berhasrat untuk meneruskan kerjasama bersama NGO ini dan lain-lain pihak yang berminat serta meneruskan program-program seperti ini pada masa hadapan bagi memastikan kesedaran berhubung penjagaan alam sekitar dan mengelakkan pembaziran makanan disamping menggalakkan amalan bersedekah terus meningkat dikalangan warga Daerah Muallim khususnya.

Paparan Terbaik Menggunakan Internet Explorer 9.0 / Mozilla Firefox 12.0 / Google Chrome 13.0 Ke Atas Dengan Resolusi 1024 x 768


Hakcipta Terpelihara © 2023 Majlis Daerah Tanjong Malim . Kemaskini : 23/04/25 • Jumlah Pelawat : 21286959