MENU

Bahagian Teknologi Maklumat dengan kerjasama Terminal Sejahtera Slim River, Majlis Daerah Tanjong Malim telah menganjurkan Minggu ICT yang julung-julung kalinya diadakan bagi peringkat Majlis Daerah Tanjong malim (MDTM). Di antara pengisian program yang telah dilangsungkan adalah Kursus ICT yang mana ia bertujuan untuk melahirkan kakitangan MDTM yang berkemahiran tinggi, serta celik ICT dalam usaha untuk meingkatkan kualiti dan produktiviti kerja masing-masing.

Kursus yang telah bermula pada 17 Julai dan berakhir pada 23 Julai 2013 ini melibatkan penyertaan daripada 84 orang kakitangan MDTM malah apa yang lebih istimewa sambutan kursus ini tidak hanya menumpu kepada kakitangan yang bekerja di dalam bidang perkeranian semata-mata tetapi juga turut melibatkan penyertaan daripada kakitangan sokongan MDTM yang lain. Kursus ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Daerah Tanjong Malim, Encik Khairul Anwar bin Ramli dan upacara penutupan kursus telah disempurnakan dengan kehadiran setiausaha MDTM, Puan Siti Azura binti Haji Juki.

Antara pengisian program yang telah diberikan adalah berkaitan dengan pendedahan modul kemahiran asas penggunaan komputer,  modul Microsoft word, modul Microsoft power point, dan modul Microsoft excel. Interaksi secara dua hala yang berlangsung sepanjang pelaksanaan kursus ICT telah menjadikan pengisian kursus ini menjadi lebih bermakna dalam usaha memberi pendedahan dan meningkatkan pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan kakitangan MDTM. Hasil daripada maklum balas yang diberikan oleh peserta kursus ternyata tidak mengecewakan dan terdapat banyak permintaan yang mengharapkan agar kursus ini dapat dilangsungkan lagi pada masa akan datang.

Diharapkan program Minggu ICT MDTM khasnya penyediaan kursus ICT akan menjadi aktiviti tahunan pada masa akan datang dan akan diberikan kepada golongan sasaran yang tidak hanya menumpu kepada kakitangan MDTM semata-mata sebaliknya mampu dimanfaatkan oleh keseluruhan komuniti Daerah Tanjong Malim.

Burung Tempua di dahan tinggi,
Melihat rusa di tepi perigi,
Minggu ICT MDTM 2013 berakhir kini,
Di lain masa bersua lagi.

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 9 Ogos 2019 - 1:03pm