MENU

MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PAJAKAN RUMAH REHAT TANJONG MALIM DI ANTARA ENJIT SEMUT SDN. BHD. DENGAN MAJLIS DAERAH TANJONG MALIM

TANJONG MALIM, 15 Mei 2015 (Jumaat) - Majlis menandatangani perjanjian Pajakan Rumah Rehat Tanjong Malim di antara syarikat milik Mamat Khalid, Enjit Semut Sdn Bhd dengan Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) telah diadakan dengan jayanya di pekarangan rumah rehat tersebut.

Cetusan idea bermula apabila Mamat Khalid  membuat penggambaran filem di sekitar Tanjong Malim, Perak di mana beliau bercadang untuk mengembangkan bakat seni terutamanya di kalangan anak muda di sekitar kawasan Tanjong Malim. Dengan adanya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), selain pecan Tanjong Malim yang merupakan pintu masuk negeri Perak dari Lembah Klang menguatkan lagi impian Mamat itu. Sehubungan itu, tawaran daripada Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) supaya membangunkan Rumah Rehat Tanjong Malim sebagai Art Hub atau pusat seni di daerah itu disambut baik Mamat.

Hadir sama, Pengarah Urusan Enjit Semut, Hasmah Hasan dan Yang Dipertua MDTM, En. Khairil Akhtar bin Ghazali, AMP serta pelakon, pelukis dan penyair seperti Imuda, Pyanhabib dan Sofi Jikan. Perjanjian itu memboleh¬kan Mamat Khalid menjalankan pelbagai aktiviti seni selama lima tahun di rumah rehat itu yang juga rumah merupakan warisan sejarah.

Mamat berkata, pusat itu akan dinamakan "Sarang" sebagai simbolik tempat pengumpulan pelbagai aktiviti seni serta bertujuan melahirkan lebih ramai pengiat seni dalam kala¬ngan golongan muda.

"Aktiviti dijangka bermula Ogos ini. Saya tidak akan mengubah struktur bangunan yang menjadi warisan sejarah ini tetapi hanya proses baik pulih bagi memudahkan pelbagai aktiviti dijalankan nanti," katanya.

Menurutnya, antara pengiat seni dan artis yang bakal menyumbangkan tenaga dan bakat mereka di situ ialah Pyanhabib, Imuda, S Amin Sahab, Nur Hanim Khairudin dan Afdlin Shauki.

"Kita akan bermula dengan pembukaan galeri diikuti pameran lukisan, bengkel seni dan pelbagai aktiviti seni. Segala kos bagi menganjurkan program ini akan dibiayai pihak Enjit Semut.

"Saya juga memerlukan sumbangan daripada syarikat korporat dan mana-mana NGO (pertubuhan bukan kerajaan) untuk bersama kami menganjurkan aktiviti seni sebagai tanda sokongan kepada golongan muda yang berbakat dan meminati seni terutama mereka yang sebelum ini tiada tempat untuk mengembangkan bakat," katanya. 

Mamat Khalid (kiri) dan Yang Dipertua MDTM (kanan) menandatangani perjanjian sambil diperhatikan tetamu yang hadir.

Kemaskini Terakhir: Ahad, 15 September 2019 - 10:21am